Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPM larang unsur ekstremisme, keganasan dalam program solidariti Palestin di sekolah

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur ekstremisme dan keganasan sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

Menurut KPM dalam kenyataan hari ini penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi tidak dibenarkan.

“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan program ini.

“Semua institusi bawah KPM diminta sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan. Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat-menghormati,” menurut kementerian itu.

KPM memaklumkan pihaknya mengambil perhatian berhubung kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme.

Hari ini tular video berdurasi 55 saat di aplikasi X dan TikTok yang antaranya memaparkan seorang lelaki memegang replika senapang dalam satu program di sebuah sekolah.

Menurut KPM penganjuran program berkenaan adalah di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikut panduan yang ditetapkan kementerian berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :