Pengujung mendapatkan barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Gombak pada 29 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

400 pek beras habis dalam 2 jam di jualan murah DUN Gombak Setia

GOMBAK, 29 OKT: Lebih 700 pengunjung hadir ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang berlangsung di Dewan Beringin, Sri Gombak di sini, hari ini.

Penyelaras program Mohamad Nazif Zulkifli berkata pihaknya mula membuat pengagihan nombor giliran seawal 8.30 pagi untuk 300 pengunjung walaupun program bermula jam 10 pagi.

“Kami terpaksa menutup pemberian kupon pembelian pada pukul 9.30 pagi untuk mengelak daripada kekurangan bekalan bagi menampung keperluan pengunjung,” katanya ketika ditemui.

Penyelaras JER Mohamad Nazif Zulkifli

Menurut Mohamad Nazif sebanyak 300 papan telur, 400 pek beras Ehsan keluaran PKPS dan 500 ekor ayam habis terjual dalam tempoh dua jam.

Seorang pembeli, Salmah Harun, 60, berpandangan program jualan murah membantu menjimat perbelanjaan dapur dan meringankan kos sara hidup rakyat.

“Cadangan saya program jualan murah ini kerap diadakan lagi kalau boleh setiap minggu kerana banyak membantu rakyat banding beli di luar,” katanya.

Warga emas Siti Zaleha Saad, 68, berkata program jualan murah membantunya berjimat sehingga 50 peratus berbanding beli barangan di pasar raya.

“Program JER, saya boleh beli beras, minyak masak, telur dan ayam boleh penuhi stok bekalan sebulan untuk empat isi rumah,” katanya.

Salmah Harun

Seorang lagi pengunjung K. Krishnan, 78, berkata program jualan murah membantu warga emas sepertinya mendapatkan bekalan keperluan asas pada harga murah.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.


Pengarang :