AGENDAJENAYAH

Cubaan seludup kuda laut ke negara jiran gagal

ALOR SETAR, 30 OKT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar 90 kilogram (kg) kuda laut bernilai RM180,000 ke Thailand tanpa dokumen sah dalam satu operasi Rabu lalu.

Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar berkata operasi pada jam 4 petang itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di laluan penumpang (eksport).

“Hasil pemeriksaan bersama yang dilakukan mendapati 90 kg kuda laut dianggarkan bernilai RM180,000 tanpa sebarang dokumen sah iaitu tanpa Permit Eksport daripada Maqis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Tindakan penguatkuasaaan undang-undang melalui operasi bersama agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :