Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta selepas merasmikan Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 30 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rangka pembangunan ekonomi penjagaan, sokong wanita terus berkerjaya

SHAH ALAM, 30 OKT: Enakmen berhubung ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) bakal ditubuh bagi menyokong pemerkasaan wanita dalam pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi penguatkuasaan dasar dan polisi, wanita yang bekerja tidak lagi perlu risau berhubung penjagaan anak atau ibu bapa sekali gus membantu negeri memacu ekonomi.

Jelasnya menerusi dasar berkenaan juga, aspek penjagaan di pusat jagaan sedia ada dapat diselaras sekali gus menjamin keselamatan warganya.

“Isu penjagaan ini bukan perkara baharu sebab hari ini ibu bapa sudah hantar anak-anak ke pusat jagaan. Mungkin kita kena rangka dasar, undang-undang dan enakmen terhadap kerangka ekonomi penjagaan yang masih banyak tidak formal.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 30 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Apabila berlaku situasi yang tak mempunyai sokongan, maknanya wanita terpaksa berhenti separuh jalan, kerjaya mereka tersekat kerana perlu menjaga anak, ibu bapa atau perlu sediakan kos tinggi sekiranya dihantar ke pusat jagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan simposium ekonomi penjagaan Selangor 2023 yang julung kali diadakan hari ini.

Amirudin berkata ekonomi penjagaan juga perlu diberi perhatian berikutan kadar kelahiran negeri yang semakin berkurang dengan purata 1.9 pada 2018 berikutan kebimbangan terhadap kos penjagaan yang tinggi.

“Saya yakin pada hari ini angkanya mungkin berkurang. Pada masa sama jangka hayat penduduk di Selangor tinggi, dua tahun setengah lebih panjang daripada jangka hayat nasional.

“Saya percaya simposium ini permulaan yang baik dan kita nak lihat berapa nilai ekonomi, berapa kitaran ekonomi, berapa ramai dapat dijaga,” katanya.


Pengarang :