Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu penjawat awam sempena program bersama ketua jabatan dan pegawai kanan persekutuan di negeri Perlis pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketirisan wang: 25 penjawat awam kena tindakan tatatertib, seorang didakwa

SHAH ALAM, 30 OKT: Seramai 25 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan ketirisan wang awam berdasarkan hal berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata setakat ini seorang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.

“Tujuh Laporan Ketua Audit Negara dibentang melibatkan pengauditan peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh 2020 hingga 2021.

“Sebanyak 24 isu membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan pada peringkat persekutuan serta negeri sudah diaudit dalam tujuh Laporan Ketua Audit Negara itu yang dikategorikan sebagai isu punitif.

“Isu ini membabitkan ketirisan kehilangan wang awam dan pembaziran yang serius sama ada selesai diambil tindakan atau masih dalam tindakan siasatan lanjut oleh agensi berkenaan,” kata Ramkarpal Singh.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Kah Woh (HARAPAN-Taiping) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal menambah antara isu berbangkit adalah melibatkan kelemahan pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program dan projek, serta kelemahan pengursan wang zakat.

Bagaimanapun, jelas beliau sebanyak 12 isu selesai disiasat membabitkan dua siasatan SPRM dan 10 oleh siasatan dalaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


Pengarang :