EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim (hadapan, tengah) bergambar bersama penerima ketika majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2022 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 30 Oktober 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahawan kategori ternakan, tanaman ungguli Ikon Agro Selangor 2022

SHAH ALAM, 31 OKT: Empat usahawan kategori ternakan dan tanaman dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2022 bagi edisi ketiga.

Mereka ialah penternak ikan keli dan talapia, Mohd Hafiz Nordin dan Faridah Khalid pengusaha lebah kelulut. Manakala kategori tanaman pula Kamarul Iqbal Ismail mengusahakan tanaman melon serta Mohd Noorhardy Mohd NoorZain pengusaha tanaman nanas.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan peralatan bernilai RM10,000 serta trofi yang disampaikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di Dewan Orkid Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) malam tadi.

Ditemui selepas majlis, Izham menjelaskan, pencalonan pada program dianjurkan sejak 2020 itu agak sengit berikutan semua calon berpotensi dan mempunyai perniagaan besar.

“Semua calon ini dinilai dalam pelbagai sudut termasuk jenis perniagaan, penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) dan pemodenan. Bagaimanapun, kali ini semua calon hebat dalam kategori masing-masing.

“Kita berharap apabila diangkat sebagai ikon, mereka akan membantu membimbing usahawan dalam bidang sama memulakan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memantau perniagaan usahawan-usahawan yang bergelar ikon agro Selangor dalam edisi terdahulu supaya perniagaan diusahakan terus berjaya.

Program Ikon Agro Selangor dianjurkan bertujuan menjadikan Selangor sebagai pusat bekalan makanan selain menggalakkan lebih ramai berkecimpung dalam industri.

Bagi edisi ketiga kali ini, sebanyak 23 penyertaan pencarian Ikon Agro Selangor 2022 diterima selepas tarikh tutup permohonan pada 18 Januari lalu.

Lima kategori dipertandingkan dalam program edisi ketiga iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan.


Pengarang :