Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Guru wanita rugi lebih RM236,000 selepas diperdaya sindiket dalam talian

IPOH, 31 OKT: Guru wanita berusia 52 tahun dari Tanjung Malim kerugian lebih RM230,000 apabila diperdaya sindiket penipuan melalui telefon (phone scam) Ogos lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada syarikat kurier “Pos Laju” Melaka pada 30 Ogos memaklumkan terdapat barang terlarang di dalam bungkusan itu.

“Pengadu kemudian menafikan bungkusan itu miliknya dan pihak ‘Pos Laju’ mengarahkan pengadu membuat laporan polis dengan segera kerana ada individu lain menggunakan maklumat peribadi pengadu lalu menyambungkan panggilan terbabit ke ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengadu kemudian bercakap dengan “Tuan Ammar” dan “Datuk Samsul Anwar” serta dimaklumkan bahawa satu kad ATM CIMB bank atas nama pengadu telah dijumpai hasil serbuan oleh polis terhadap penjenayah bernama “Ong Kai Chin” dan satu waran tangkap dikeluarkan atas nama pengadu.

“Pada 1 September, mangsa terima panggilan memintanya memindahkan wang Tabung Haji ke sebuah akaun bank sebanyak RM49,000 bagi urusan memudahkan siasatan dan pada 4 September mangsa memasukkan wang ASB RM27,300 sebelum mangsa diminta membuat pinjaman peribadi di Bank Islam sebanyak RM150,000,” katanya.

Yusri berkata pengadu kemudian membuat pinjaman peribadi itu dan pada 25 September, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada suspek yang meminta memasukkan wang RM10,000 lagi untuk bayaran guaman bagi perbicaraan kononnya pada November ini.

Malangnya, pada 30 Oktober, mangsa ke Bank Islam Tanjung Malim untuk membuat semakan akaun dan mendapati kesemua wang sebanyak RM236,300 dalam akaun lesap dan terdapat beberapa transaksi dilakukan oleh mangsa sebelum membuat laporan polis setelah menyedari dirinya tertipu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :