Anggota tentera Divisyen Kelima Infrantri dalam Eksesais Tembadau Lima Divisyen bermula pada 25 November 2021 di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia sedia bawa isu Palestin-Israel ke perbincangan Menteri Pertahanan Asean

SHAH ALAM, 31 OKT: Malaysia bersedia membawa isu Palestin-Israel dalam perbincangan bersama Menteri-Menteri Pertahanan Asean yang akan berlangsung minggu depan.

Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata ia antara lain bagi mendapatkan suara Asean berhubung konflik di wilayah itu.

“Saya akan cuba bawa jika ada perkara yang boleh dibincangkan berkenaan Palestin semasa perbincangan dengan Menteri-Menteri Pertahanan Asean yang akan berlangsung minggu depan supaya kita boleh berbincang ‘on side issue’ bukan topik utama.

“Kita bincang dapatkan dulu suara Asean kerana kita mempunyai satu pegangan iaitu Asean Centrality. Kita tidak boleh bersendirian. Jika negara Asean bersetuju kita menghantar (tentera pengaman) dan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kita akan kaji.

“Tetapi (keputusan menghantar tentera pengaman) ini tertakluk kepada Kementerian Luar Negeri bukan di bawah kuasa Kementerian Pertahanan. Kita ambil apa saja keputusan yang diputuskan oleh kerajaan. (Kalau mandat) hantar, akan hantar, (kalau mandat) tarik, akan tarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed berkata Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menghantar tentera pengaman ke Palestin sekiranya menerima mandat berbuat demikian.

Namun katanya buat masa ini tiada sebarang keputusan dibuat PBB berhubung perkara itu.

“Keputusan untuk menghantar trup tentera secara unilateral ke sesuatu kawasan bergolak bukanlah keputusan mudah dan memerlukan penelitian pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar Negeri, pandangan negara sekitar yang dilanda krisis dan paling utama, perlu mendapat mandat jelas daripada PBB.

“Sehingga kini Malaysia sentiasa komited dalam memberi sokongan terhadap usaha mencapai keamanan sejagat di bawah panji-panji PBB dan Kementerian Pertahanan melalui ATM sentiasa bersiap siaga termasuklah pasukan Pengaman Malbatt yang bertugas di bawah United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL), Lubnan.

“Kementerian Pertahanan mengikuti secara dekat perkembangan di Palestin dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Luar Negeri jika diperlukan bagi membantu urusan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan terkesan di samping memantau tahap keselamatan anggota Malbatt di Selatan Lubnan,” katanya.

 


Pengarang :