SHAH ALAM, 4 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menerima menghadap dan berdialog bersama delegasi Organisasi Belia ASEAN (AYO) sempena Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia.
Tengku Amir Shah turut menzahirkan pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen organisasi itu dalam menggerakkan program pemberdayaan belia di peringkat Asia Tenggara.
“Baginda mengimbau dan berkongsi pengalaman tatkala mengasas dan membangunkan Selangor Youth Community (SAY) pada 2015 sehingga mencapai tahap yang membanggakan sebagai sebuah pertubuhan belia yang disegani,” kata EXCO Belia Mohd Najwan Halimi di Twitternya.
Sesi dialog yang diketuai pengasas AYO Senjaya Mulia turut disertai Wakil Tetap Malaysia ke Asean Dato’ Nur Izzah Wong Mee Choo.
Raja Muda turut berkenan menerima menghadap delegasi Sekretariat Asean yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung Asean Tran Duc Binh selain bertemu pegawai serta diplomat Kerajaan Malaysia yang bertugas bersama sekretariat itu.
Baginda menzahirkan pendirian dan dukungan khusus kepada Asean sebagai teras kekuatan diplomasi negara Asia Tenggara juga sebagai contoh negara lain dalam menangani cabaran geopolitik, keselamatan dan ekonomi serantau.
“Baginda turut bertitah menzahirkan penghargaan atas perkhidmatan pegawai dan diplomat Malaysia dalam menggerakkan Asean dan memastikan negara terus dihormati di pentas antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Raja Muda Selangor diberi penghormatan menyampaikan titah ucaptama pembukaan Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia, semalam.
Tengku Amir Shah menerusi ucaptama bertajuk ‘Mencipta Perubahan yang Mampan untuk Rantau Asean’ berkenan menyentuh pelbagai isu serantau antaranya penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi dan peranan belia sebagai pemimpin.
Titah Baginda, untuk benar-benar mencungkil potensi belia di rantau Asean, perlu berusaha untuk mewujudkan ruang dan platform kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam penggubalan polisi dan pelaksanaan.
Persidangan tahunan yang dihadiri 150 delegasi belia dari 15 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei bertujuan memberi platform kepada anak muda untuk mengutarakan pendapat dan idea berkenaan isu semasa di rantau Asia Tenggara dan dunia seperti isu ekonomi, pendidikan, politik, keamanan, kebudayaan dan kebajikan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/RMS-1-500x333.jpg.webp)