Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lelaki didakwa ugut menteri pendidikan di media sosial ditahan polis

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Seorang lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 28 tahun itu, yang disyaki pemilik atau pengendali akaun Twitter @syahmisufi8, ditahan di Setapak.

Beliau berkata kes itu masih di peringkat siasatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan setakat ini, terdapat empat laporan polis diterima berhubung isu sama.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna serta prihatin terhadap isu sensitif terutama yang melibatkan keselamatan dan kegentaran awam ketika menggunakan media sosial,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

– BERNAMA


Pengarang :