Antara belia orang kurang upaya (OKU) yang menghadiri temuduga Mini Karnival Kerjaya OKU anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Dewan Jasmine, Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS, Seksyen 15 di sini, pada 31 Oktober 2023. Foto Facebook ANIS
AGENSISELANGOR

43 belia OKU sertai mini karnival kerjaya, tonjol kemampuan peroleh pekerjaan

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 43 belia orang kurang upaya (OKU) menghadiri temu duga Mini Karnival Kerjaya OKU anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), minggu lalu.

ANIS memaklumkan program dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor itu dianjur bagi menonjolkan kemampuan mereka memperoleh pekerjaan.

“Menerusi karnival ini, belia OKU dapat didedahkan dengan peluang pekerjaan serta menonjolkan kelebihan dan kelayakan mereka untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya menerusi Facebook.

Antara syarikat yang terlibat dalam program temuduga tersebut adalah AEON Co (M) Bhd, Malayan Banking Berhad, Natural Wellness Industries Sdn Bhd dan EdisiJuta Parking Sdn Bhd.

ANIS berharap inisiatif itu memberi manfaat khususnya kepada golongan OKU pembelajaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan sekaligus membantu mereka berdikari.

Pada Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri memperuntukan RM4 juta kepada ANIS dan peruntukan khusus RM1 juta bagi Program Bantuan Khas untuk memberdaya golongan kanak-kanak istimewa di Selangor.


Pengarang :