EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berbual bersama mangsa banjir ketika lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Mangsa banjir dinasihat patuh arahan pihak berkuasa bagi elak kejadian tidak diingini

SEPANG, 6 NOV: Orang ramai terutama di kawasan banjir dinasihat peka dengan keadaan semasa dan mengikut arahan pihak berwajib bagi mengelak insiden tidak diingini.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata mangsa banjir dinasihat segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

“Kita minta mereka bersiap siaga terutama yang tinggal di kawasan tumpuan banjir, jika rumah berisiko mungkin boleh pindah barangan ke tempat tinggi.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi menyampaikan bantuan kotak makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kalau sudah dilanda banjir mereka perlu patuh kepada arahan pasukan penguat kuasa yang melaksanakan proses menyelamat sebab saya difahamkan ada yang tidak mahu berpindah ke PPS,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil yang menempatkan 221 mangsa banjir daripada 65 keluarga di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri menerusi Tabung Bencana Negeri Selangor memperuntukkan RM500 bagi setiap keluarga terjejas banjir yang berdaftar di PPS selain kotak bantuan makanan mangsa bencana.

Keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain itu, sukarelawan Serve Selangor akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir khususnya bagi kerja pembersihan di kawasan terjejas.

“Setakat ini kira-kira 400 mangsa banjir di Sepang ditempatkan di tiga PPS dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal Pasah Ismail, 38, memuji tindakan pantas pihak yang terlibat membantu menyelamat mangsa terjejas banjir dengan menempatkan mereka di PPS dengan segera.

Pasah Ismail, 38, ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apabila sampai ke PPS jam 8 malam semalam semua kelengkapan seperti khemah dan makanan sudah disediakan. Banjir kali ini hingga ke paras pinggang dan tidak seteruk 2021 yang mencecah hingga atap,” katanya.

Suri rumah, Zahana Sidek, 50, dari Kampung Chemperai menganggarkan kerugian yang dialami akibat banjir sejak tiga tahun lalu mencecah lebih RM10,000 dengan barangan rosak seperti motosikal, peralatan elektrik dan perabot.


Zahana Sidek, 50, ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :