AGENDANASIONAL

Mayat bayi perempuan cukup sifat dijumpai dalam tandas surau

JERTIH, 6 NOV: Penduduk sekitar kawasan Rumah Awam Pengkalan Nyireh di sini gempar susulan penemuan mayat bayi perempuan di dalam tandas sebuah surau di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mayat bayi itu dijumpai penduduk kawasan itu yang terhidu bau busuk dari dalam salah satu tandas surau berkenaan pada jam 10 pagi.

Beliau berkata beberapa orang awam kemudiannya masuk ke dalam tandas itu untuk memeriksa dan mereka menemukan satu baldi berwarna merah dalam keadaan telungkup di lantai tandas.

“Saksi kemudian membuka baldi itu dan ternampak mayat bayi di dalam plastik warna jernih, lalu mereka memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan sepasukan pegawai serta anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mendapati mayat bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat, dan tiada kecederaan ketara dikesan.

“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, bayi itu dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya dan menambah mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Abdul Rozak berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

– BERNAMA


Pengarang :