Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor memunggah barangan yang akan di agihkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Dengkil pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI hulur bantuan barangan keperluan RM5,000 ke PPS SMK Dengkil

SEPANG, 7 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini menghulur bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil di sini yang menempatkan jumlah mangsa banjir paling ramai.

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporatnya berkata bantuan meliputi 20 karton air mineral, roti berperisa (200 pek), biskut berperisa (100 pek), mi segera (100 pek), toto (40 unit), kit kesihatan (100 unit), kit kebersihan (100 unit) termasuk tuala wanita (40 pek) membabitkan peruntukan RM5,000.

“Berdasarkan maklumat PPS ini menempatkan ramai mangsa banjir berbanding PPS lain yang dibuka seluruh Selangor iaitu 256 orang. Jadi kita lebihkan barangan keperluan di sini bagi membantu meringankan beban mereka.

“Jika barangan ini berlebihan, kita akan agih ke tiga PPS lain sekitar Sepang. Saya juga maklumkan kepada mangsa bahawa MBI juga akan bantu daripada sudut sumbangan ehsan selepas banjir pulih,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui.

Terdahulu, beliau meninjau keadaan mangsa banjir diiringi Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Sepang Lyn D’Amor Buquing.

Sementara itu, mangsa Wan Rosnani Abdul Rahman, 49, berterima kasih atas keprihatinan MBI terhadap mangsa bencana melalui pemberian sumbangan berkenaan.

“Memang kami memerlukan bantuan ini untuk digunakan buat sementara waktu kerana semua barang di rumah sudah habis rosak kena banjir.

“Alhamdulillah, setakat tiga hari di sini kebajikan kami terjaga. Pihak berkepentingan sedia makan minum dan kemudahan lain,” kata ibu empat anak yang tinggal di Kampung Cemperai, Dengkil.

Seorang lagi mangsa, Norliza Maayideen, 52, berkata barangan sumbangan MBI sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mangsa yang masih menanti banjir pulih.

“Sekarang rumah masih digenangi air dan kami tidak boleh buat apa-apa. Jadi kami perlu tinggal di sini sehingga keadaan reda.

“Kehadiran pihak berkaitan bantu kami di sini sangat dialu-alukan dan saya amat berbesar hati. Bantuan ini sedikit sebanyak bantuan ini dapat tampung keperluan kami,” katanya.

Setakat 10 pagi, seramai 256 mangsa membabitkan 72 keluarga berteduh di PPS SMK Dengkil, meningkat berbanding 233 mangsa daripada 69 keluarga semalam.

Hujan berterusan pada Ahad mengakibatkan banjir di Sepang, Hulu Langat dan Petaling. Susulan itu, tujuh PPS dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas.

 


Pengarang :