Orang Besar Daerah Kuala Langat Datuk Mohamed Al Haj Tengku Harun (dua, kanan) menerima replika cek bernilai RM34,250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Ahmad Fadhil Hassan (dua, kiri) pada majlis simbolik penyerahan Bantuan Khas Keperluan Hidup di Masjid Al-Falah Kampung Jenjarom Kuala Langat pada 7 November 2023. Turut hadir Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Md Yusmizan Yusuf. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih bantuan khas asnaf RM34.25 juta kepada 68,500 penerima

BANTING, 7 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan ‘Bantuan Khas Keperluan Hidup’ berjumlah RM34.25 juta yang mula diagihkan sejak 1 Nov lepas kepada 68,500 penerima layak dijangka selesai Jumaat ini.

Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf berkata agihan bantuan khas zakat secara sekali beri itu dikreditkan terus kepada akaun bank penerima berkenaan yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf di negeri itu.

Beliau berkata agihan zakat berkenaan merupakan pemberian tambahan bantuan sedia ada yang diterima golongan berkenaan bertujuan membantu meringankan perbelanjaan isi rumah berikutan kenaikan harga barang.

“Daripada jumlah tersebut, kira-kira sebanyak RM12.41 juta disalurkan kepada asnaf fakir melibatkan 24,823 penerima dan RM19.62 juta lagi disalurkan kepada 39,239 asnaf miskin, manakala RM2.22 juta disalurkan kepada asnaf mualaf seramai 4,438 penerima,” katanya selepas program tersebut yang turut dihadiri oleh Orang Besar Daerah Kuala Langat, Datuk Mohamed Alhaj Tengku Harun dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan di Masjid Al-Falah Jenjarom dekat sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, LZS menyampaikan sumbangan kepada empat individu asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah serta bantuan perubatan dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM241,471.

Dalam pada itu, tiga masjid dan surau dalam daerah Kuala Langat turut menerima sumbangan baik pulih serta peralatan masjid dengan jumlah keseluruhan bernilai RM223,000.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita adakah LZS akan membuat penilaian semula had kifayah dalam penentuan asnaf, Md Yusmizan menjawab perkara itu sedang dalam kajian pihaknya yang prihatin dengan kenaikan kos hidup dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pada masa ini had kifayah semasa di negeri ini berjumlah RM2,990 setiap keluarga yang baharu diumumkan tahun ini berdasarkan kajian dua tahun lepas.

“Untuk yang terkini kami tengah dalam kajian untuk had kifayah yang baharu sebab di LZS sendiri ia akan disemak setiap tiga tahun. Peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa sedang dalam kajian kami untuk had kifayah baharu,” ujarnya.

– BERNAMA


Pengarang :