Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Korban di Palestin melonjak 10,328 orang, lebih separuh wanita, kanak-kanak

ANKARA, 8 NOV: Jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu melonjak kepada 10,328 orang.

Pada sidang media semalam, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Gaza, Ashraf al-Qudra, berkata antara yang terbunuh ialah 4,237 kanak-kanak dan 2,719 wanita.

Memetik laporan ANADOLU, beliau berkata lebih 25,956 yang lain cedera akibat serangan rejim Zionis ke atas Gaza, lapor Berita Harian.

Jurucakap itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah untuk melindungi kemudahan kesihatan dan ambulans daripada serangan Israel.

Israel melancarkan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Selain jumlah korban yang besar dan pemindahan besar-besaran, bekalan asas semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza akibat pengepungan Israel.

– AGENSI


Pengarang :