Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (dua kiri) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan tajaan Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2023 di Kelab Golf Seri Selangor pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor tawar biasiswa, gilap bakat pemain golf muda berpotensi

PETALING JAYA, 8 NOV: Kerajaan Negeri komited membangunkan sukan golf bagi menggilap lebih ramai bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya melatih 12 pemain ketika ini bagi mendapatkan pendedahan dan latihan yang lebih baik.

“Usaha kita turut meliputi tawaran biasiswa kepada pemain berpotensi. Kita taja seorang pelajar yang menjadi pemenang kejohanan sebelum ini. Sekarang ada 12 orang sedang mengikuti latihan di Bukit Beruntung (Bukit Beruntung Golf & Country Resort).

“Kita serius mengenai perkara ini bukan hanya disebabkan perniagaan sukan golf tetapi mahu lahirkan pemain untuk membawa nama negeri dan negara,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf Selangor Masters 2023 semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata pentadbiran memperuntuk RM2 juta bagi membangun sukan golf selain melahirkan pemain profesional pada masa depan.

Dari 3 hingga 5 November lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023, disertai 96 pemain remaja dari Filipina, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Singapura, China, Korea Selatan dan India.

Awal tahun ini, Selangor turut menjayakan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 Siri 1 yang disertai 105 pemain remaja.


Pengarang :