Penempatan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor buka 11 PPS tempatkan 740 mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 NOV: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 740 mangsa melibatkan 186 keluarga, setakat 8 pagi tadi.

Unit pengurusan bencana memaklumkan semua mangsa kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu lima di Sepang, Kuala Langat (tiga), Hulu Langat (dua) dan Petaling (satu).

Berdasarkan statistik, lebih separuh mangsa merupakan penduduk Sepang iaitu seramai 462 mangsa diikuti Hulu Langat (114), Kuala Langat (109) serta Petaling (50).

Kelmarin Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 pek bantuan asas merangkumi makanan kering dan keperluan harian bagi menjaga kebajikan semua mangsa.

Pentadbiran turut meminta pasukan bomba, tentera serta Angkatan Pertahanan Awam menyediakan aset serta memastikannya dalam keadaan baik supaya kerja menyelamat berjalan lancar.


Pengarang :