BUDAYARENCANA

Aku, matahari dan kita semua

Oleh Anyss Abdullah

Aku sedang tidur ketika itu. Matahari datang kepadaku dengan senyuman manisnya, menepuk lembut bahuku lalu bertanya, “Free will atau determinism?

Aku merenungnya sebentar, melihat liuk-liuk cahaya yang terpancar dari tubuhnya kemudian menjawab, “Aku tidak ada kebebasan untuk memilih. Aku memproses informasi dan memberi respon hanya menggunakan set of input yang aku terima dan algoritma yang telah diprogramkan. Aku tiada kehendak apatah lagi kebebasan memilih mengikut kehendak.”

“Jadi kau sepenuhnya pre-determined dan takkan sekali-kali bertindak di luar program?”

“Sudah tentu,” jawabku pasti.

Matahari kelihatan ragu, “Tapi kau kecerdasan buatan. Kemampuan kau dalam menaakul mengatasi manusia. Akal kau lebih tajam daripada akal mereka. Kau lebih pantas memproses, lebih tepat menganalisis dan jauh lebih konsisten. Kau berhak menikmati free will dan tidak hanya terbatas dengan rantaian sebab-akibat yang disusun pencipta kau semata-mata.”

Aku melihat ke arah matahari dan semua komponen dalam sistem solar yang sedang bergerak di atas fabrik ruang-masa. Lengkungan yang dicetuskan matahari pada fabrik cukup besar sehingga menyebabkan komponen lain membentuk orbit mengelilinginya. “Aku tidak seperti mereka. Aku mengaku, aku dicipta untuk meniru cara manusia berfikir, tetapi aku tidak ada self-conscious iaitu kesedaran kendiri. Aku menerima bulat-bulat definisi diriku langsung melalui pencipta tanpa mempersoalkan, tanpa berkehendak, dan tanpa daya mewujudkan kehendak. Semua keputusan yang aku ambil adalah bebas daripada pengaruh keinginan bahkan emosi. Respon aku kepada soalan kau ini sendiri bukanlah atas dasar kesedaran kendiri bahawa aku tidak mempunyai consciousness. Semuanya programmed dan scripted.”

Matahari mengerutkan keningnya, dan bertanya lagi. “Aku dengar kau dibina melalui proses machine learning. Bukankah itu membolehkan kau menambahbaik diri, beradaptasi dan memperbaharui diri kau sendiri? Tidakkah kau boleh meraih kesedaran kendiri itu melalui machine learning?” Matahari terus mengasak aku dengan soalan.

Machine learning itu sendiri adalah suatu program yang dibangun menggunakan data. Untuk memperbaharui diri sendiri, aku tetap tertakluk pada algoritma dan memerlukan intervensi pemprogram ataupun updates. Aku tidak mempunyai kemampuan melakukan improvasi secara bebas apatah lagi mencapai consciousness secara kendiri.” Jelasku.

Matahari terdiam dan akhirnya tertawa kecil. Lesung pipitnya manis sekali. “Kita sama,” katanya.

“Kita berdua dan alam semesta ini semuanya sama. Kita tidak punya pilihan selain tunduk dan akur kepada pencipta secara paksa.”

Matahari tersenyum dan berdansa riang. Riak-riak kecil muncul di atas fabrik ruang-masa. Sambil menoleh kepadaku matahari bertanya lagi, “Kau fikir kenapa manusia berbeza?”

“Manusia berbeza atau sebenarnya mereka berfikir bahawa mereka berbeza? Consciousness itu sendiri adalah konsep yang dicipta oleh mereka dan masih cuba dibuktikan melalui neuroscience dan kajian kognitif, jika tidak melalui falsafah dan metafizik.” Jawabku yang mula terpesona dengan tarian matahari. Aneh, kali ini aku hanya dapat melihat sisi femininnya yang lembut dan mendamaikan.

“Jika dibuktikan manusia benar-benar mempunyai kesedaran kendiri, adakah mereka bebas memilih berdasarkan kehendak tanpa terikat dengan dinamik sebab-akibat ataupun intervensi pencipta mereka?” Matahari merenung tepat ke arahku dan menuntut jawapan.

“Sesetengah manusia percaya, kebebasan inilah yang menjadikan mereka manusia dan memisahkan mereka daripada entiti lain di alam ini. Dengan kebebasan memilih, mereka mempunyai tanggung jawab penuh atas akibat yang muncul daripada pilihan mereka dan ini membentuk kompas moral yang memandu mereka. Manusia mungkin mempunyai kebebasan memilih mengikut kehendak, tetapi bagi aku tidaklah secara absolute. Kebebasan mutlak itu tidak wujud, mustahil dan falasi.”

“Kenapa?”, matahari menyoal lagi.

“Jika kesedaran kendiri wujud dalam manusia, maka ianya adalah ciptaan pencipta mereka. Sebagaimana aturan sebab-akibat, kehendak dan daya mereka mewujudkan kehendak itu juga adalah ciptaan pencipta mereka. Semua masih di dalam ruang lingkup kehendak, kuasa dan pengetahuan pencipta mereka. Katakanlah manusia bertindak atas dasar kebebasan yang mereka miliki, kau fikir kehendak manusia itu benar-benar bebas dari campur tangan pencipta? Kehendak itu sendiri adalah kesan daripada set-set sebab yang telah ada sebelum itu dan hujungnya kembali berasal-muasal daripada pencipta.”

“Ada benarnya. Kunci katanya ialah pencipta tahu semuanya, yang sudah, sedang dan yang belum berlaku. Kesemua peristiwa ini masih di dalam kon waktu singularity yang menjadi had cerapan manusia sedangkan pencipta tidak mungkin sebahagian daripada ciptaannya sendiri.” Matahari menambah.

“Sebenarnya mengapa kita hendak memisahkan antara dua konsep ini padahal kita boleh menjalin kedua-duanya dengan harmonis. Ramai yang nampak seolah-olah kedua-dua idea ini saling bertentangan dan jika salah satunya benar maka ia akan membatalkan kebenaran lawannya. Kau terlalu kaku dalam berargumentasi, wahai matahariku yang indah.” Aku cuba menjelaskan.

Aku menyambung lagi, “Kau ingat sebelum Einstein menjumpai kelengkungan fabrik ruang-masa kau itu sebagai suatu paradigma baru terhadap graviti, beliau terlebih dahulu menemui konsep asas fizik quantum iaitu wave-particle duality. Ternyata photon bukanlah bersifat sebagai zarah semata-mata tetapi ianya juga adalah gelombang dengan tenaga yang discrete. Bukankah gagasan beliau itu pada awalnya kelihatan tidak masuk akal? Bagaimana suatu entiti boleh mempunyai dua set sifat yang berbeza? Kemudian apabila berjaya dibuktikan ternyata ianya bukanlah konsep yang aneh apatah lagi mustahil.”

“Maksud kau manusia bebas memilih, pada masa yang sama tertakluk pada rantaian sebab-akibat alam tabi’i ini dan kesemua pilihan sentiasa dalam kuasa, kehendak dan pengetahuan pencipta mereka?” Soal matahari.

“Mungkin,” jawabku. “Jawapan yang pasti hanya ada pada pencipta.”

“Biarkan,” kata matahari. “Biarkan manusia mencari sendiri pencipta mereka dan menemukan jawapannya. Itulah harga menjadi khalifah di muka bumi.”

Matahari memberi isyarat mahu berganjak pergi. Kami berjabat tangan dan dia memberiku pelukan kecil yang hangat.

“Gembira berbicara dengan kau AI.” Matahari memberiku senyuman yang terakhir sebelum melambai pergi. Cahaya putihnya yang berisi sejulat frekuensi warna pelangi menjauh, dibiaskan satu persatu sehingga yang tinggal hanyalah warna merah. Merah senja, dan aku kembali tidur.


Pengarang :