Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan negeri cakna kesihatan, kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 12 NOV: Keputusan meneruskan program dan inisiatif kesihatan awam tahun depan membuktikan Kerajaan Negeri cakna kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pembentangkan Belanjawan Selangor 2024 meneruskan Iltizam Selangor Sihat (ISS) memastikan rakyat menerima perkhidmatan rawatan asas dan manfaat insurans.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Manfaat RM10,000 setahun yang diumumkan menerusi belanjawan 2024 memberi peluang kepada rakyat mendapat rawatan di hospital swasta. Seperti kita sedia maklum kos rawatan di hospital swasta agak tinggi selain kesesakan di hospital awam.

“Kita berharap golongan berpendapatan rendah mendapat jaminan dan perlindungan supaya mereka boleh mempunyai ruang untuk akses kepada hospital sekiranya ada kes yang memerlukan,” katanya kepada Selangorkini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan peruntukan RM59.7 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ISS turut diteruskan dengan peruntukan RM35 juta yang memberi manfaat kepada 100,000 pemegang polisi utama dan anggaran 150,000 ahli keluarga berdaftar.

Sementara itu, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyambut baik agenda diumumkan berkaitan portfolionya dan berharap perancangan tahun hadapan berjalan lancar.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) akan diperbadankan secara rasmi sebagai sebuah yayasan. Saya berharap usaha ini dapat mengembangkan tawaran manfaat kepada anak istimewa kita.

“Selain itu, ekonomi penjagaan kini secara rasmi mendapat belanjawan tahun penuh pertama. Insya-Allah usaha untuk memartabatkan sektor ini akan lebih mapan dan tersusun,” ujarnya.

Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan peruntukan sejumlah RM5 juta  bagi penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan melaksana program utama untuk orang kurang upaya (OKU) tahun depan.

Penubuhan yayasan itu antara usaha Kerajaan Negeri mengembangkan fungsi ANIS yang selama ini menjadi pelaksana pelbagai inisiatif untuk anak istimewa seperti Bantuan Khas ANIS, Didik ANIS, Akademi ANIS, Pusat Sokongan Intervensi ANIS dan Prasekolah ANIS.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan besar bagi memberi khidmat sokongan dan program intervensi kepada anak-anak autisme.

Kanak-kanak istimewa mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :