Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas melancarkan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Taman Aero Selangor antara 13 projek pembangunan wilayah selatan

SHAH ALAM, 11 NOV: Sebanyak 13 projek dengan jumlah keluasan 17,398.56 ekar diluluskan di bawah Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

Dato’ Menteri Besar berkata agensi negeri serta pihak berkuasa tempatan akan memudah cara kemasukan pelabur tempatan dan luar negara atau meluaskan fasiliti pembuatan dan kilang.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, antara yang tersenarai dalam projek pembangunan mega itu adalah pembinaan taman perindustrian aeroangkasa pertama berkonsepkan hijau iaitu Taman Aero Selangor (SAP).

“Pembangunan SAP yang mampan dan berhasrat menepati piawaian amalan tadbir urus mampu menjadikan Selangor sebagai negeri utama dalam bidang aeroangkasa di rantau Asia Tenggara, dan kos pembangunan projek ini akan dibiayai oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pentadbiran negeri menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu berkonsepkan Taman Pengurusan Industri (MIP) yang mampan.

Tambahnya, sebanyak enam cadangan projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan sebagai kawasan perindustrian MIP di Selangor dengan keluasan 3,383.85 ekar.

“Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan meneruskan usaha menggalakkan lebih ramai pemaju hartanah membangunkan kawasan perindustrian baharu yang berkonsepkan MIP serta menjalankan ‘retrofitting’ kawasan perindustrian lama, yang akan dijayakan melalui kerjasama Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Amirudin berkata, sebanyak RM6 juta akan disedia pada tahun depan melalui MBI bagi melengkapkan kawasan perindustrian dengan perkhidmatan jalur lebar menerusi Taman Upaya Internet Kebendaan (IOT (Internet of Things) Enabled Industrial Park).

“Pada tahun hadapan, sebanyak RM6 juta akan disediakan melalui MBI bagi melengkapkan kawasan perindustrian baharu dan sedia ada dengan perkhidmatan jalur lebar untuk terus memantapkan infrastruktur telekomunikasi di Selangor khususnya di kawasan industri,” katanya.


Pengarang :