Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) mengadakan simulasi Hari Raya Aidilfitri bagi melatih kanak-kanak istimewa dengan suasana perayaan berdasarkan kiriman di Facebook Anak Istimewa Selangor pada 19 April 2023
AGENSISELANGOR

Tubuh yayasan insan istimewa, bela nasib golongan kurang upaya

SHAH ALAM, 11 NOV: Sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan melaksana program utama untuk orang kurang upaya (OKU) tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata yayasan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selaras matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan tumpuan terhadap kumpulan sasar.

“Bagi menambah baik perkhidmatan golongan OKU, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk mengembangkan fungsi Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang selama ini menjadi pelaksana utama semua inisiatif berkaitan.

“Inisiatif seperti Bantuan Khas ANIS, Didik ANIS, Akademi ANIS, Pusat Sokongan Intervensi ANIS dan Prasekolah ANIS,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, semalam.

Beliau berkata YANIS juga akan memperluas perkhidmatan kepada OKU tanpa mengira had umur berbanding sebelum ini yang bertumpu kumpulan sasar bawah 18 tahun.

“Fokus juga diberikan kepada program pendidikan, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata peruntukan RM250,000 turut disediakan bagi membangunkan dokumen Pelan Tindakan Mesra OKU 2024-2026 sekali gus menambah baik program pembangunan golongan terbabit.

“OKU golongan yang sentiasa dekat di hati Kerajaan Negeri dan pelbagai inisiatif dilaksanakan menyentuh khusus kepada golongan ini,” katanya.

Selangor menjadi negeri pertama menubuhkan Majlis Tindakan OKU pada 2018 yang berfungsi menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk OKU bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan itu terbela.


Pengarang :