Seramai 13 wanita menerima tawaran biasiswa dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dana RM4 juta khas berdaya wanita, biasiswa lanjut pengajian

SHAH ALAM, 11 NOV: Belanjawan 2024 memperuntuk RM4 juta kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi menjalankan pelbagai program dan aktiviti untuk kesejahteraan golongan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata WBS berperanan sebagai badan pemikir dan menjalankan kajian polisi berkaitan wanita untuk membantu mereka di setiap peringkat.

Jelasnya, pertubuhan itu turut menjalankan projek khusus Pengarusperdanaan Gender bagi memastikan pembangunan inklusif untuk perancangan dan penilaian dasar serta program negeri.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat atau Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kepada individu terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sehingga kini, seramai 24 penerima biasiswa sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia,” katanya semalam.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak RM50,000 diperuntuk bagi meneruskan Talian Khas Keganasan Rumahtangga (Talian SELamat) yang turut dikendali WBS susulan peningkatan kes pascapandemik.

Beliau turut mengumumkan RM100,000 bagi meneruskan pemberian Geran Rumah Perlindungan Wanita bertujuan membantu melengkapkan ekosistem perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Dalam pada itu, Amirudin berkata peruntukan RM1 juta disediakan bagi membangunkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor dengan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar pelbagai.

“Isu dihadapi ialah pekerja sektor penjagaan tidak berbayar yang lazimnya dilakukan wanita selain kerja penjagaan kurang upah sektor perkhidmatan kesihatan, pusat penjagaan dan pendidikan kanak-kanak serta pekerja sosial di pusat penjagaan warga emas dan orang kelainan upaya,” katanya.


Pengarang :