Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Ihya’ Ulumuddin) Imam al-Ghazali sempena festival turath islami selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Belanjawan martabat syiar Islam, rancang program pemantapan ummah

SHAH ALAM, 11 NOV: Peruntukan tinggi khusus kepada agama Islam pada tahun depan membuktikan pentadbiran kerajaan mahu kerohanian umat bergerak seiring kemajuan negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor berkata program yang dirangka dan dirancang dalam belanjawan dapat memartabatkan syiar Islam, sekali gus memberi kesan besar kepada ummah.

Menurut Dato’ Shahzihan Ahmad, dana RM2 juta untuk pengurusan masjid jelas menyokong dasar Majlis Agama Islam Selangor selain RM1 juta untuk Akademi Literasi al-Quran yang dijalankan Jais.

“Banyak yang kita dapat. Dari Jais sendiri, kita bersyukur dengan pelbagai program dirancang sedari lahir hingga kematian. Banyak bantuan diberikan termasuk juga peringkat pendidikan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Semuanya sesuai dengan fizikal Selangor sebagai negeri maju. Setiap tahun peruntukan Islam terus meningkat dan tunjukkan kita utamakan agama serta menyokong usaha agensi tertentu,” katanya.

Beliau berkata pembinaan kompleks Islam di Gombak selain rancangan penganjuran Festival Turath Islami ke seluruh daerah juga membantu pemantapan agama umat Islam negeri ini.

“Usaha ini memberi kesan sangat baik kepada umat Islam. Ditambah lagi program lain seperi bantuan RM5 juta untuk Kelas Fardu Ain Integrasi (KAFAI) dan pembaikan asrama Selangor di Mesir,” katanya.

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, belanjawan 2024 memperuntuk RM2.53 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Beliau turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.

 

 


Pengarang :