Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

39 bayi maut di hospital akibat kekurangan oksigen susulan serangan Israel

GAZA, 11 NOV: Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan pada Sabtu mendedahkan 39 bayi meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Al-Shifa Gaza akibat kekurangan oksigen.

Hospital itu yang terletak di Semenanjung Gaza terjejas teruk akibat serangan Israel baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu.

Serangan darat dan udara oleh Israel di Hospital Al-Shifa dan kawasan berhampiran berlanjutan selama enam jam, menurut saluran televisyen Palestin.

Pada Jumaat, pesawat Israel memperhebat serangan ke atas hospital di Semenanjung Gaza, termasuk sekitar Hospital Al-Shifa, Hospital Indonesia, Hospital Al-Awda, Hospital Al-Quds dan Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi.

Sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita setakat ini.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :