Mayat seorang warga Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis dimasukkan ke dalam ambulans, di selatan Semenanjung Gaza pada 1 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

WHO terputus komunikasi dengan Hospital Al-Shifa di Gaza

ISTANBUL, 12 NOV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terputus komunikasi dengan Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza, kata Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad.

“Terdapat laporan sebahagian daripada mereka yang cuba keluar dari hospital telah ditembak, cedera, atau terbunuh. Laporan terkini mengatakan kereta kebal mengepung hospital itu,” kata beliau di platform X, lapor Agensi Anadolu.

Sambil menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan petugas kesihatan dan pesakit, termasuk bayi yang memerlukan bantuan mesin pernafasan, beliau menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan sebagai jalan penyelesaian tunggal untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan penduduk.

Hospital itu sekali lagi dibedil tentera penceroboh Israel pada Sabtu, kali ini menyasarkan Unit Rawatan Rapi (ICU), mencederakan sebahagian petugas dan menyebabkan beberapa bayi berisiko meninggal dunia akibat kekurangan oksigen selepas bekalan elektrik terputus.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Palestin Mai al-Kaila dilaporkan berkata 20 daripada 35 hospital di Gaza sudah tidak beroperasi sejak 7 Okt.

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa, dengan sebahagian besar daripadanya ialah penduduk awam terutamanya wanita dan kanak-kanak.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :