Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Kelima Belas di Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kongsi dividen, semak fi antara usaha negeri tambah hasil RM100 juta

SHAH ALAM, 14 NOV: Hasil negeri dijangka bertambah lebih RM100 juta mulai tahun depan selepas pentadbiran negeri memperkenal tiga langkah baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha meliputi perkongsian dividen anak syarikat dengan anggaran RM40 juta dan semakan fi pejabat bawah pejabat daerah dan tanah berjumlah RM50 juta.

Turut dilaksanakan, jelasnya, menaikkan caruman parit sebanyak RM10 juta yang sedang dalam penilaian berikutan ia tidak pernah dikutip Kerajaan Negeri sebelum ini.

“(Ketika ini) hasil negeri bergantung sepenuhnya kepada sumber hasil tanah seperti cukai premium, permit galian dan bayaran perkhidmatan yang menyumbang 80 peratus,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang), Amirudin berkata pihaknya juga giat meneroka projek tenaga hijau bagi menambah lagi hasil negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika tapak projek Sisa kepada Tenaga (Waste-To-Energy (WTE) Jeram diantara Worldwide Holdings Berhad (WHB), dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd (Shanghai Electric) di tapak pelupusan Sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan ia termasuk projek kendalian Worldwide Holdings bernilai hampir RM10 bilion, pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, selain penerokaan solar, mini hidro dan hidrogen.

“Baru-baru ini, kita berhubung dengan wakil kerajaan Abu Dhabi dan Emieriah Arab Bersatu yang melawat ke sini dan bersedia melabur sekitar RM10 juta atau 10 gigawatt (GW).

“(Dalam projek itu), Selangor terlibat antara 1 hingga 1.5 GW. Yang menariknya, sebahagian projek ini sudah berjalan,” katanya lagi.

Jumaat lalu,  Amirudin memaklumkan jumlah agregat terkumpul Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri terus kukuh dan stabil mencecah RM3.71 bilion setakat 9 November tahun ini.

Beliau menjelaskan peningkatan RM631.48 juta berbanding tahun lalu meliputi Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.49 bilion dan Akaun Amanah Disatukan, RM2.21 bilion.

Menggunakan pendekatan dan strategi perbelanjaan berkesan serta berhemah, beliau berkata prestasi
kewangan negeri sehingga tempoh itu juga merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta.

 


Pengarang :