Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKP, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kiri) bertemu dengan Timbalan Datuk Bandar Izumisano City, Michihiro Mase bagi usahasama teknologi pertanian dan rakan kongsi produk makanan halal di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun. Foto Facebook PKPS
AGENSISELANGOR

PKPS, Jepun bekerjasama tingkat teknologi tani, teroka produk halal

SHAH ALAM, 14 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) komited untuk memulakan inisiatif keselamatan makanan susulan pengumuman Belanjawan Selangor 2024.

PKPS memaklumkan pihaknya menjalin usahasama dengan Jepun bagi menaik taraf teknologi pertanian berkaitan tanaman padi dan sayuran.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kami, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi baru-baru ini bertemu dengan Michihiro Mase, Timbalan Datuk Bandar Izumisano City, Osaka, Jepun.

“Ia sebagai sebahagian daripada proses berterusan untuk mengenal pasti teknologi pertanian yang berkaitan khusus berkaitan penanaman padi dan sayur-sayuran,” katanya menerusi Facebook.

PKPS juga bakal menjadi rakan kongsi produk makanan halal bagi Ekspo Dunia di Osaka pada 2025, dengan jangkaan 28 juta pengunjung dan potensi pendapatan USD20 bilion.

“Sambil berusaha ke arah kerjasama dengan pemimpin terbukti dalam pertanian perindustrian, PKPS juga meneroka pasaran halal antarabangsa khususnya sebagai rakan kongsi makanan halal yang berpotensi untuk Ekspo Dunia 2025, insya-Allah,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi memastikan kerterjaminan makanan rakyat Selangor tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan dengan kerjasama PKPS bagi mempertingkat bekalan makanan antara tiga hingga enam bulan.


Pengarang :