EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Belanjawan) Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 50 peratus ahli Iltizam Sihat Selangor buat tuntutan manfaat setakat Oktober

SHAH ALAM, 14 NOV: Lebih 50 peratus daripada 92,746 ahli aktif program Iltizam Sihat Selangor (ISS) membuat tuntutan manfaat setakat Oktober, kata EXCO kesihatan awam.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, program perlindungan kesihatan rakyat menggantikan Skim Peduli Sihat (SPS) menunjukkan peningkatan daripada segi jumlah penerima dan tuntutan.

“Berbanding SPS yang hanya memfokuskan rawatan asas dan vaksinasi, ISS memberi manfaat tambahan seperti perlindungan kemalangan sebanyak RM5,000.

“Ia termasuk penyakit kritikal (RM 5,000), kematian semulajadi (RM5,000) dan khairat kematian (kos pengebumian) (RM1,000),” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung prestasi ISS, Jamaliah berkata pemegang polisi juga menerima manfaat hospitalisasi sehingga RM10,000 setahun dijangka bermula akhir tahun ini.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin akan keperluan kesihatan rakyat di negeri ini,” katanya.

Diperkenal pada 2 Julai tahun lalu, ISS menyasar 100,000 penduduk menerima manfaat membabitkan peruntukan sekitar RM67 juta bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang pada Jumaat memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

Setiap pemegang polisi ISS layak mendapat rawatan asas dan vaksinasi RM500 setahun bagi kategori keluarga manakala individu RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negeri.


Pengarang :