Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Kelima Belas di Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2024 strategi negeri terus cemerlang, depani cabaran ekonomi

SHAH ALAM, 14 NOV: Belanjawan Selangor 2024 yang dibentangkan Jumaat lalu peluang terbaik pentadbiran negeri untuk bangkit selain melakukan penambahbaikan bagi meneruskan kecemerlangan.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata rancangan kemajuan yang dirangka seawal 2018 itu terhenti berikutan cabaran besar dihadapi termasuk penularan pandemik Covid-19.

Azmizam Zaman Huri menjelaskan halangan lain meliputi banjir besar yang melanda beberapa daerah pada Disember 2021 selain krisis politik langkah Sheraton sekitar Februari 2020.

“Belanjawan tahun depan memastikan Selangor bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman masa depan termasuklah perubahan iklim, geopolitik serta ancaman ekonomi.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri ketika sesi perbahasan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Menerusi empat teras, belanjawan ini turut bersumberkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan kerjasama pertama negeri dengan persekutuan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024, Azmizam turut menyambut baik binaan saluran paip di Pulau Indah, yang bakal membuka peluang ekonomi berpotensi tinggi untuk manfaat rakyat.

Beliau menjelaskan cadangan pembangunan tersebut juga dapat mengatasi masalah tekanan air rendah berikutan kawasan berkenaan antara paling teruk terjejas dan terakhir yang pulih.

“Menerusi pembinaan saluran paip ini, insya-Allah segala masalah yang membelenggu penduduk dan pemain industri bakal selesai,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2024 melibatkan peruntukan RM2.53 bilion dengan RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar perbelanjaan mengurus antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta petugas masjid.


Pengarang :