Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Lembah Jaya di Dewan MPAJ, Kampung Ampang Indah pada 14 November 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH
ADNSELANGOR

DUN Lembah Jaya titik berat maklum balas pengunjung JER

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 14 NOV: Maklum balas pengunjung amat dititik berat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya bagi memastikan Jualan Ehsan Rahmah (JER) berjalan lancar.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakatnya Aziz Yusuf berkata antara perkara diberi perhatian adalah lokasi penganjuran dan sistem penggiliran.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lembah Jaya Aziz Yusuf

“Penganjuran JER amat dinantikan penduduk Lembah Jaya setiap kali diadakan. Oleh itu, setiap maklum balas diterima dan cuba diperbaiki jika ada kekurangan daripada pihak kami.

“Kami juga menganjurkan cabutan bertuah kepada pengunjung JER bagi mengisi masa sementara menanti giliran berbelanja,” katanya pada JER peringkat DUN berkenaan di Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Sementara itu, pengunjung mengakui produk ditawar JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menepati cita rasa selain berkualiti.

Roshaizad Ahmad

Roshaizad Ahmad, 54, berkata sebagai pengunjung setia sejak tahun lepas, barangan yang sering dibeli ialah beras, minyak, ayam dan telur.

“Saya seronok berbelanja di sini kerana harga mampu milik. Hanya di JER, rakyat dapat membeli harga beras lebih murah berbanding pasaran luar. Begitu juga dengan sepapan telur dengan harga RM10.

“Jika dahulu hanya bahan mentah asas dijual di sini, tetapi kini saya lihat banyak produk PKPS lain turut dijual dan memberi banyak pilihan lain kepada pembeli,” katanya.

Wan Illawati Azlin Wan Abdullah

Bagi suri rumah, Wan Illawati Azlin Wan Abdullah, 44, berbelanja di JER dapat menjimatkan kos pembelian bahan mentah untuk stok seminggu.

“Walaupun bukanlah setiap jualan murah ini saya kunjungi kerana kekangan waktu tetapi apabila diadakan berdekatan rumah sudah tentu saya akan pergi.

“Biasanya saya akan dapatkan bahan mentah asas seperti telur, ayam dan beras. Sebab tiga keperluan asas ini sangat murah berbanding harga di pasaran luar.

“Terima kasih Kerajaan Negeri atas usaha ini dan sebagai rakyat saya berharap ia diteruskan sampai bila-bila,” kata ibu kepada empat anak berusia 7 hingga 19 tahun.


Pengarang :