Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di Menara MITI, Kuala Lumpur pada 1 September 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

NIMP 2030 tepat pada masa, pemangkin perubahan besar ekonomi negara

SHAH ALAM, 14 NOV: Pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) pada awal September lalu tepat pada masa dan berpotensi mencetus perubahan besar kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan bagaimanapun berkata peruntukan RM200 juta yang diumum menerusi belanjawan 2024 baru-baru ini perlu ditingkatkan bagi memastikan kejayaan pelan induk tersebut.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan ketika berucap di Dewan Rakyat 25 Oktober 2023. Foto Instagram Syahredzan Johan

“Antara sasaran NIMP 2030 adalah mewujudkan industri pelbagai seperti kajian dan penyelidikan (R&D), pemasaran dan perkhidmatan yang kompetitif dengan ekonomi yang kompleks.

“Oleh itu, keupayaan industri terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) harus dipertingkatkan supaya mereka dapat terlibat sama dalam sektor ekonomi yang kompleks ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Syahredzan menjelaskan dengan pelancaran pelan induk tersebut sekali gus membuka peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga pakar dan berkemahiran khusus dalam kalangan anak muda di negara ini.

“Ini akan membawa dampak positif kepada negara termasuk meningkatkan gaji pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada (menggajikan) pekerja asing,” katanya.

NIMP 2030 menyasar untuk meningkatkan nilai tokokan pembuatan sebanyak 6.5 peratus kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berdampak tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan pelan berkenaan pada 1 September lalu berkata sektor berdampak tinggi tersebut termasuklah elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.


Pengarang :