Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Nie Ching menjawab Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 15 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RUU Majlis Media diperinci, pastikan dibentang secepat mungkin

SHAH ALAM, 15 NOV: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) meneliti dan memuktamad Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia bagi memastikan ia dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata usaha itu dilakukan menerusi beberapa siri perbincangan secara berkala bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (Jawatankuasa Kerja Sementara).

“Sesi perbincangan telah diadakan bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui dalam kandungan RUU Majlis Media Malaysia adalah jelas dan mencapai kesepakatan antara semua pihak.

“Antara perkara yang dibincangkan secara lebih teliti dan perlu dipersetujui adalah berhubung beberapa takrifan yang akan dimasukkan dalam RUU ini, penguatkuasaan yang dimiliki oleh Majlis Media Malaysia dan beberapa isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Shu Qi (HARAPAN-Kluang) berhubung status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching menambah, KKD akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak bagi mendapatkan pandangan secara holistik daripada semua pihak.

Jelasnya, penubuhan Majlis Media Malaysia dan RUU itu juga perlu mengambil kira peruntukan undang-undang persekutuan serta undang-undang negeri sedia ada berkaitan dengan media.

“Peranan dan fungsinya juga perlu jelas bagi memastikan tiada pertindihan skop undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia dengan peruntukan undang-undang serta kawal selia sedia ada oleh kerajaan,” katanya.

Julai lalu, KKD menjangkakan RUU penubuhan Majlis Media Malaysia dapat dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada sidang Mac tahun depan.


Pengarang :