Operator kren yang tidak sedarkan diri dalam kabin di tapak pembinaan Persiaran KLCC Kuala Lumpur dibawa turun dalam kejadian pada 16 November 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Operator kren menara meninggal dunia dalam kabin di ketinggian 20 meter

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seorang operator kren menara disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kabin di ketinggian kira-kira 20 meter di tapak pembinaan di Persiaran KLCC, di sini, semalam.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mior Muhammad Fikri Mohd Zaini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 petang dan satu jentera dengan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa berumur 27 tahun itu berjaya dibawa turun pada jam 7.46 malam dengan menggunakan bantuan menara kren bersebelahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata mayat lelaki warga tempatan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), “ katanya.

– BERNAMA


Pengarang :