EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi (tengah) menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saujana Impian Suminah Kasolang (dua,kiri) sempena majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di sekolah itu pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024, Selangor sasar kedudukan tiga teratas

SHAH ALAM, 17 NOV: Kontinjen Selangor menyasarkan kedudukan tiga teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Sarawak tahun depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata sasaran ditetapkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor itu dibuat hasil pemantauan serta penilaian prestasi atlet sepanjang tempoh persediaan.

“Kita telah melihat keadaan dan potensi semasa setiap atlet, melalui pemantauan serta penilaian sepanjang tempoh persediaan yang dilaksanakan.

“Melalui penyertaan kejohanan lain sebelum ini, pihak MSN Selangor merasakan kemampuan untuk berada di kedudukan tiga terbaik pada temasya SUKMA 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sarawak dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA edisi ke-21 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan. Selangor menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016.

Dalam pada itu, wakil rakyat Kota Anggerik itu berkata MSN Selangor telah merangka plan stategik bagi memastikan persediaan atlet dan pasukan sejak awal tahun ini.

Jelasnya, program pembangunan sukan dan persediaan SUKMA dibahagikan kepada tiga kategori iaitu program khas atau elit, pelapis, dan bakat.

“MSN Selangor juga telah membuat lantikan jurulatih yang berkelayakan dalam dan luar negara bagi memastikan program latihan atlet dan pasukan berjalan dengan sempurna,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang minggu lalu memperuntuk RM8 juta sebagai persediaan kontinjen negeri menghadapi SUKMA tahun depan di Sarawak.


Pengarang :