Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mahu PBT tumpu naik taraf kemudahan asas, seiring kemajuan negeri

KUALA LANGAT, 18 NOV: Dato’ Menteri Besar mahu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menumpukan usaha menaik taraf kemudahan asas rakyat pada tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT perlu menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada simpanan kewangan bagi tujuan tersebut sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Selain daripada apa yang telah dibajetkan oleh semua PBT, saya juga mahu (minimum) 10 peratus daripada simpanan mereka digunakan untuk menaik taraf kemudahan seperti balai raya, dewan dan kemudahan lain.

“Pelarasan ini perlu diadakan kerana infrastruktur asas perlu diperkemas supaya rakyat bukan saja dapat menikmati kemodenan yang dicapai tetapi juga dapat keselesaan (menggunakan) kemudahan awam yang ada,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Perancangan bandar sedunia peringkat Selangor 2023 di Dewan Jubli Emas, Kampung Endah di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) merasmikan majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin ketika berucap pada majlis perasmian berkata pembangunan infrastruktur seperti kualiti jalan, longkang, lampu jalan, aksesori jalan raya, dewan orang ramai dan pusat masyarakat menjadi fokus pada 2024.

“Ini adalah perkara yang kita rencanakan kerana negeri kita ini sebuah negeri yang menjadi tumpuan semua orang daripada pelusuk dunia dan negeri metropolitan dengan pelbagai latar belakang (penduduk), sebab itu penting menjaga kualiti kehidupan kita.

“Perancangan bandar juga perlu sentiasa mengadaptasi perubahan semasa termasuk keadaan demografi supaya selari dengan keperluan setempat,” katanya.

Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Selangor 2023 diadakan bermula semalam hingga esok di Kampung Endah di sini, dengan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk hari rendah karbon, festival makanan jawa dan perasmian Smart Desa.

Objektifnya antara lain bagi meraikan dan menghargai perancang bandar dalam pembangunan khususnya ke arah mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti selain menyebarluas idea perancangan bandar dan desa bagi memperkasa komuniti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pembangunan Bandar Lestari Borhan Aman Shah (kiri), EXCO Pelancongan Ng Suee Lim (kanan) dan EXCO Kemampanan Kampung Tradisi Datuk Rizam Ismail berbasikal ketika majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :