Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tingkatkan usaha keamanan, pastikan bantuan sampai di Gaza

SHAH ALAM, 20 NOV: Usaha keamanan perlu dipertingkat bagi memastikan semua bantuan sampai kepada mangsa peperangan di Gaza, tegas Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap penderitaan warga Palestin dan berharap bantuan dapat disampaikan segera.

“Isu yang penting adalah bagaimana kita mahu menggesa keamanan dapat diwujudkan dulu di Gaza sebelum bantuan dapat masuk dan sampai.

“Lebih saya tumpu apakah bantuan segera yang boleh dibuat. Tapi bagaimana langkah kita dapat masuk ke sana jika kepungan masih berterusan dan peperangan masih berlaku,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, Amirudin menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.

Pertemuan kira-kira setengah jam di Dewan Negeri Selangor (DNS) itu bagi mengetahui situasi sebenar selain berbincang mengenai pendekatan membantu Gaza termasuk rancangan pasca perang.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membina ‘bangunan angkat’ (bangunan replika) di Palestin sekali gus menyedia kemudahan kepada penduduk wilayah itu.

“Antara kerjasama yang kita lakukan adalah membina bangunan angkat yang hampir sama seperti Masjid Kampung Tunku yang turut ada di sana. Mungkin selepas ini hospital dan juga sekolah turut akan ada di sana,” katanya.


Pengarang :