Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

17,301 saringan kesihatan mental dalam tempoh kurang sebulan sejak MyMinda dilancar

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 20 NOV: Sebanyak 17,301 saringan kesihatan mental dilaksanakan sejak Modul Kesihatan Mental (MyMinda) melalui aplikasi MySejahtera dilancarkan pada Oktober lalu.

Menteri kesihatan berkata daripada jumlah itu sebanyak 3,983 atau 23 peratus saringan didapati mempunyai risiko kemurungan dan 2,592 (15 peratus) pula mempunyai risiko keresahan.

“Individu yang berisiko akan diberikan akses kepada bahan-bahan psiko-pendidikan di dalam MyMinda selain diberikan akses kepada Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555.

“Pengguna juga boleh mendapatkan akses kepada janji temu perkhidmatan kesihatan mental di semua klinik kesihatan yang dimulakan tahun depan,” Dr Zaliha Mustafa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pencapaian MyMinda dalam MySejahtera.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan juga melaksanakan sesi libat urus bersama universiti, kaunselor dan profesional kesihatan mental swasta bagi mempertingkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental kepada rakyat.


Pengarang :