EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 22 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja lebih RM25 juta laksana jualan murah, stabil bekalan barangan asas

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM25 juta untuk melaksanakan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada tahun ini dan 2022.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pentadbiran negeri sentiasa prihatin dengan isu berkaitan keterjaminan makanan dengan merangka pelan jangka pendek dan panjang untuk rakyat.

“Untuk jangka masa pendek, kita ambil beberapa langkah termasuk melaksanakan jualan murah barangan keperluan harian dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Program JER walau dilihat sebagai langkah awal dan segera, ia terbukti membantu rakyat. Kita telah belanja lebih RM25 juta pada tahun ini dan tahun lepas dalam menyokong usaha dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Kohijrah.

“Inisiatif ini banyak membantu menstabilkan beberapa komoditi atau barangan asas yang menjadi keperluan rakyat seperti telur, ayam dan beras,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata untuk perancangan jangka panjang pula, Kerajaan Negeri akan menumpukan komponen penting dalam pertanian dan makanan khusus berkaitan penyediaan baka.

“Banyak benih dan baka diimport dari luar negara seperti udang yang diambil di Madagascar tetapi bila pandemik tidak boleh import dan kita beli di Thailand, tetapi kualitinya rendah.

“Malah, baka baka kambing terbaik iaitu Black Belly Barbados (BBB), tiada yang usahakan pembakaan, tanaman bayam juga import dari Taiwan.

“Oleh itu, Selangor akan tumpukan komponen penting dalam pertanian berhubung aspek baka seperti yang kita lancar tahun lalu lancar benih jagung, melon dan betik,” katanya.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim membantu membungkus barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN

Pengarang :