Cerucuk kepingan dipasang di Jalan BPU 6, Bandar Puchong Utama, Puchong, Subang Jaya sebagai usaha jangka pendek mengelak runtuhan struktur parit utama. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

Pembaikan kekal struktur parit di Bandar Puchong Utama mula awal tahun depan

SUBANG JAYA, 22 NOV: Kerja pembaikan kekal struktur parit utama di Bandar Puchong Utama, Puchong yang runtuh Isnin lalu akan bermula selewat-lewatnya awal tahun depan.

Datuk Bandar Subang Jaya berkata pemasangan struktur L-Shape sepanjang 60 meter di Jalan BPU 6 dengan kos hampir RM2 juta sebagai usaha jangka panjang mengelak insiden sama berulang.

“Pembaikan kekal segera dibuat sebaik selesai proses tender yang mengambil masa 12 minggu. Pembinaan struktur termasuk lain-lain kerja berkaitan dijangka siap sepenuhnya empat hingga enam bulan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas mesyuarat penuh di sini hari ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBSJ Bil 11/2023 pada 22 November 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya

Tambah beliau, kerja pemasangan cerucuk kepingan (sheet pile) dengan lebar 400 milimeter yang dimulakan 17 November lalu selesai hari ini.

“Kita ambil tindakan segera memasang cerucuk kepingan di sekitar lokasi runtuhan dengan kos dianggarkan mencecah RM400,000.

“Ini sebagai langkah jangka pendek sahaja kerana kita bimbang sekiranya kejadian sama berlaku, apatah lagi musim tengkujuh atau monsun timur laut sudah bermula,” katanya.

Menurut Mohd Fauzi, MBSJ turut membayar insurans tujuh kenderaan yang rosak ekoran insiden itu dengan penilaian sudah dibuat pihak berkaitan di lokasi semalam.

Kejadian jam 6 petang Isnin lalu dipercayai berpunca kegagalan struktur L-Shape menahan beban sedia ada di tapak selain peningkatan paras air di parit utama akibat taburan hujan tinggi.


Pengarang :