PBTSELANGOR

MBSJ: Kes denggi turun empat peratus, pergiat kempen hapus Aedes

SUBANG JAYA, 22 NOV: Sebanyak 111 kes denggi dicatatkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada minggu epid ke 46, menurun empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Datuk Bandarnya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes denggi direkodkan setakat ini sebanyak 6,971 kes, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBSJ Bil 11/2023 pada 22 November 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya

“Penduduk diminta menjalankan kempen 10 minit seminggu sekali mencari dan memusnahkan tempat pembiakan bagi memastikan tiada takungan air yang boleh menjadi punca pembiakan Aedes.

“Komuniti turut digalak menjalankan aktiviti gotong-royong memusnahkan tempat pembiakan Aedes. Jika terdapat gejala demam denggi, penduduk dinasihatkan segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh di ibu pejabat MBSJ di sini hari ini.

Antara lokasi titik panas denggi termasuk PJS11/26, USJ11/1, Subang Perdana Good Year Court 8, USJ14, Putra Height 8, Taman Puchong Perdana 1, Bandar Kinrara 4 dan Taman Saujana Puchong SP3

Hari ini, EXCO kesihatan awam memaklumkan sebanyak 50,730 kes dilaporkan pada minggu epid 45 yang berakhir 11 November berbanding 31,078 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 63.2 peratus.

Jamaliah Jamaluddin mendedahkan faktor utama penyumbang kes ialah tahap kebersihan dan keadaan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah dan tanah kosong.


Pengarang :