EXCO Pembangunan Wanitan dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dana Bantuan Guaman Selangor diperluas kepada kes syariah mulai tahun depan

SHAH ALAM, 23 NOV : Kerajaan Negeri berhasrat memperluaskan Dana Bantuan Guaman Selangor kepada kes berkaitan syariah, tahun hadapan.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata sebelum ini dana berkenaan hanya melibatkan khidmat guaman bagi isu kekeluargaan dan pekerjaan.

“Kerajaan Negeri setuju untuk meningkatkan pemberian subsidi guaman daripada RM1,500 (tahun semasa) kepada RM3,000 bagi setiap kes.

“Memahami keadaan rakyat yang menghadapi beban kewangan, syarat pendapatan bulanan isi rumah pemohon turut dinaikkan daripada RM3,000 sebulan (tahun semasa) kepada RM5,000 sebulan.

“Mulai 2024, program ini turut diperluaskan kepada kes-kes berkaitan syariah,” kata Anfaal Saari dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Untuk permohonan, Anfaal menjelaskan ia boleh dibuat di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran.

“Bagi permohonan yang telah diluluskan, pemohon boleh terus mendapatkan khidmat guaman di Selangor Bar Council,” katanya.

Kerajaan Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan Program Dana Bantuan Guaman Selangor bermula September 2022 dengan peruntukan RM1 juta.


Pengarang :