Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesta Buku Antarabangsa Selangor disertai 156 pempamer, 272 reruai habis ditempah

SHAH ALAM, 23 NOV: Bahang Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 kian terasa apabila 272 reruai habis ditempah syarikat penerbitan untuk mempromosi dan memasarkan naskhah masing-masing.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata tempahan tapak reruai di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini membabitkan 156 syarikat penerbitan tempatan dan antarabangsa.

“Persediaan penganjuran SIBF setakat ini berjalan agak baik. Sebanyak 20 reruai diambil syarikat penerbitan antarabangsa antaranya Nepal, Indonesia, Azerbaijan, Filipina, Australia, Korea, Turki dan China.

“Cuma masih ada baki reruai khusus untuk usahawan kecil menjalankan perniagaan dengan 63 reruai disediakan,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Beliau menambah bahan promosi seperti poster sudah diedar ke sekolah seluruh Selangor termasuk perpustakaan awam lain dan agensi bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan SIBF yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 10 Disember.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya menjemput semua pihak untuk sama-sama memeriahkan SIBF kali ini selain tidak melepaskan peluang menyertai cabutan bertuah apabila berbelanja sekurang-kurangnya RM30,” katanya.

Selain cabutan bertuah wang tunai RM500, pengisian menarik lain antaranya jualan buku, diskaun menarik dan pelbagai aktiviti.

Julung kali dianjur tahun lalu, SIBF merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjur Kerajaan Negeri selama 16 tahun.

SIBF 2022 mendapat penyertaan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Korea Selatan, Mesir, Indonesia, Singapura serta China.

Selain itu, acara merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung manakala nilai jualan keseluruhan diperoleh lebih RM5 juta.


Pengarang :