Sebahagian mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Kepah di Hulu Terengganu selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat berterusan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Terengganu menurun, Kelantan kekal pagi ini

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan penurunan manakala di Kelantan kekal setakat pagi ini, dengan jumlah keseluruhan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan adalah 1,199 orang.

Di Kelantan, situasi banjir kekal seperti direkodkan malam tadi dengan 62 mangsa daripada 14 keluarga masih berlindung di PPS setakat 7.30 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 30 mangsa daripada tujuh keluarga di Pasir Puteh ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja manakala di Pasir Mas, 32 mangsa daripada tujuh keluarga sedang berlindung di PPS SK Tok Deh.

Di Terengganu, jumlah mangsa merekodkan penurunan kepada 1,137 orang daripada 309 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,454 orang daripada 397 keluarga pada 10 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, di Kuala Nerus 423 mangsa daripada 114 keluarga masih berada di lapan PPS manakala di Kuala Terengganu, 482 mangsa daripada 133 keluarga berlindung di empat PPS.

Sementara itu, di daerah Marang, 177 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di empat PPS manakala di Besut, 55 mangsa daripada 14 keluarga masih berlindung di sebuah PPS.

Di daerah Dungun, tiada mangsa ditempatkan di PPS SK Tok Kah setakat pagi ini berbanding enam mangsa daripada dua keluarga yang dilaporkan malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, paras air sungai di stesen-stesen utama negeri ini berada pada tahap normal kecuali stesen Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman yang berada dalam keadaan waspada.

-BERNAMA


Pengarang :