SERDANG, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika berkomunikasi khususnya dalam media sosial.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menasihatkan graduan mengelak memberi komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian serta hasad dengki terutama membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“(Tindakan itu) boleh merosakkan pemikiran masyarakat, mengundang perbalahan dan mengancam perpaduan sesama kita,” titah Baginda pada majlis Konvokesyen UPM ke-47 sidang kedua sesi satu di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah graduan juga perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalar maruah keluarga, bangsa serta negara.
“Beta juga menyeru (graduan) agar terus berusaha dalam bidang pekerjaan yang diceburi dan melaksanakannya dengan jujur serta berintegriti pada setiap masa.
“(Selain itu) Beta ingin menggesa graduan sentiasa berusaha meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya turut menekankan pendidikan berkualiti adalah teras kepada kesempurnaan pembangunan negara selari matlamat pembangunan mampan (SDG).
“SDG menggariskan pendidikan berkualiti sebagai agenda penting bagi meningkagkan lagi potensi dan bakat masyarakat,” titah Baginda.