Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir Terengganu, Kelantan terus meningkat takat 8 malam

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan setakat 8 malam ini.

Situasi banjir di Terengganu yang beransur baik pagi tadi kembali buruk berikutan hujan lebat berpanjangan sepanjang hari yang mengakibatkan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 628 orang daripada 149 keluarga berbanding 442 orang daripada 113 keluarga, 12 tengah hari tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS manakala di Dungun, dua PPS yang ditutup semalam dibuka semula 2 petang tadi dengan menempatkan 62 orang daripada 12 keluarga.

Di Kuala Terengganu 269 orang daripada 71 keluarga berada di dua PPS; Besut (181 orang, 38 keluarga); Kuala Nerus (34 orang, enam keluarga) di sebuah PPS manakala Marang seramai 69 orang daripada 18 keluarga berlindung di dua PPS.

Paras air Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman pula merekodkan bacaan 1.97 meter melebihi tahap amaran 1.9 meter dengan trend menaik.

DI Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak kepada 224 orang daripada 72 keluarga di dua PPS di Bachok dan sebuah PPS di Pasir Mas berbanding 63 orang daripada 18 keluarga di dua PPS di Pasir Mas dan Pasir Puteh, pagi tadi .

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, di Bachok, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor menempatkan 49 orang daripada 12 keluarga manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat 90 orang daripada 30 keluarga.

PPS SK Tok Deh di Pasir Mas pula menempatkan 85 mangsa (30 keluarga).

– BERNAMA


Pengarang :