Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan titah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 29 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda seru UPM dekati komuniti, manfaat kepakaran alumni

SERDANG, 29 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menyeru alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menabur khidmat bakti kepada komuniti dengan kepakaran masing-masing.

Tengku Amir Shah bertitah universiti kini bukan lagi institusi eksklusif atau menara gading sebaliknya institusi inklusif atau menara ilmu yang berkongsi pendidikan terbaik kepada masyarakat.

“Melalui Matlamat Pembangunan Mampan pendidikan terbaik merupakan agenda penting untuk mengupayakan potensi dan bakat masyarakat.

“Dalam hal ini universiti mempunyai peranan sangat penting menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi demi kemakmuran negara,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 di sini hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengurniakan ijazah kepada graduan ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 29 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,066 graduan daripada pelbagai bidang pengajian.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian UPM yang menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2023 kategori Universiti Awam (UA) oleh Talentbank Group Berhad sebagai majikan pilihan dalam kalangan mahasiswa.

“Anugerah ini selari dengan pencapaian cemerlang 99.4 peratus kadar kebolehpasaran graduan 2022, membuktikan program pengajian ditawarkan di UPM berkualiti dan menepati kehendak industri. Beta mendoakan graduan pada hari ini juga mendapat pekerjaan yang sewajarnya,” titah Baginda.

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) ceria pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 29 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :