Permandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Jalinan empat kota besar, tingkat khidmat PBT kepada rakyat

Pada 2020, kira-kira 95.9 peratus atau 6.7 juta penduduk Selangor tinggal di bandar yang ditadbir 12 pihak berkuasa tempatan (PBT). Negeri ini mempunyai tiga bandar raya tidak termasuk yang terbaharu Klang.

Bagi memastikan kehidupan 3.4 juta warga kota di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang terjamin, Kerajaan Negeri merancang beberapa langkah penting termasuk Enakmen Lembah Klang Raya.

Idea menyusun pentadbiran itu antara lebih 50 program dalam manifesto parti Kerajaan Perpaduan ketika pilihan raya negeri Ogos lalu. Tanpa lengah, ia terus dibentang dalam Belanjawan Selangor 2024.

Untuk meningkatkan lagi perkhidmatan, Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan akan dibahas di Dewan Negeri Selangor tahun depan. Sasarannya jelas, PBT harus mampu berkhidmat dengan pantas, boleh bertindak dalam tempoh 24 jam selepas aduan ramai.

Cita-cita memberi khidmat terbaik ini sudah dinyatakan dalam pelan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sehingga 2025 yang dibentang pertengahan 2022.

Satu daripada 14 petunjuk kejayaan dokumen dasar ini ialah semua PBT di negeri ini mencapai tahap 10 terbaik di negara ini. Sebahagian pencapaian ini sudah dikecapi saban tahun.

Bagi memudahkan pergerakan penduduk, Kerajaan Negeri cuba melengkapkan kemudahan pengangkutan awam yang sudah sedia dibangunkan kerajaan persekutuan seperti jaringan rel.

Selain perkhidmatan lebih 160 bas Smart Selangor di 50 laluan, belanjawan 2024 memperuntuk RM5 juta bagi membina jaringan van dan bas mini di kawasan padat penduduk.

Belanjawan yang dibentang 10 November lalu turut menyediakan dana 10 peratus rizab PBT bagi membaik pulih kemudahan prasarana awam. Jumlah ini tambahan daripada peruntukan Kerajaan Negeri.

Kemudahan itu termasuklah jalan raya, saliran air, kemudahan sukan, kebersihan, kolam takungan dan stesen pengangkutan.

Dana RM3 juta diberikan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam bagi merintis laluan pejalan kaki berbumbung dan berlampu dari pentadbiran utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke pusat bandar.

Namun tumpuan bukan hanya di bandar. Selangor merapatkan jurang antara daerah dengan jaringan perhubungan melalui projek menaik taraf jalan, membaik pulih cerun, memasang lampu isyarat dan pewartaan jalan.

Sebanyak RM145 juta diluluskan untuk tujuan tersebut, termasuk pembinaan jambatan serta jejantas penyuraian kesesakan di beberapa kawasan. Perancangan ini turut dimuatkan dalam manifesto Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

Sebagai bandar yang padat dengan bangunan kediaman bertingkat, jawatankuasa petugas khas dibentuk bagi menyelesaikan masalah hak milik strata.

Sebanyak RM500,000 pula disalurkan untuk anjuran program rewang komuniti strata, memperkasa komuniti Projek Perumahan Rakyat dan Skim Smart Sewa bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Selain belanjawan 2024, banyak lagi program kemajuan bandar dan PBT akan dilaksanakan dalam penggal ini seperti dimuatkan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun.

Sempena 100 hari pentadbiran, sebahagian program penting seperti berikut:

Belanjawan Selangor 2024
■ Sistem pengurusan empat kota besar Lembah Klang Raya *RM2 juta
■ Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan
■ Bertindak atas aduan rakyat dalam 24 jam*
■ Jaringan van dan bas kecil Mobiliti Selangor* RM5 juta
■ Pembangunan jalan raya dan infrastruktur seluruh negeri RM145 juta
■ 10 peratus rizab PBT untuk prasarana orang ramai
■ Projek tebatan banjir dan pengurusan saliran RM68 juta
■ Jawatankuasa khas selesai isu hak milik strata RM200,000
■ Baik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) RM300,000
■ Erat kerjasama penduduk pangsapuri (program rewang) RM500,000

*dimuatkan dalam manifesto

Program dirancang dalam manifesto
■ Hubungkan Pusat Kawalan Kerajaan Negeri dengan setiap PBT
■ Kurang kesesakan dengan kerjasama agensi persekutuan
■ Dana RM100 juta tingkat kualiti, fasiliti jalan luar bandar
■ Wujud 5,000 pusat pengecasan untuk kenderaan elektrik
■ Gunakan teknologi automasi dalam sistem kutipan sisa
■ Bina sebuah pusat rekreasi Kita Selangor di setiap 56 DUN
■ Ambil alih pengurusan satu pangsapuri kos rendah setiap daerah
■ Tawar tukar cukai petak dan utiliti air kepada kadar kediaman bagi pemilikan rumah pertama
■ Panel solar setiap bangunan kerajaan negeri dan PBT


Pengarang :