Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mahasiswa manfaat pesta buku Selangor beli judul terkini, peluang temu penulis

SHAH ALAM, 5 DIS: Golongan mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan dengan harga murah sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Komunikasi Rabiatul Adawiyah Zahari, 20, berkata pesta buku negeri itu menjadi acara yang dinantinya pada setiap tahun kerana menyediakan pelbagai naskhah atau judul terkini.

Rabiatul Adawiyah Zahari. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Ini bukanlah kunjungan kali pertama saya di sini (SIBF). Saya gemar membaca buku seperti puisi, dakwah dan novel. SIBF banyak menyediakan judul-judul buku yang saya cari.

“Harga buku di sini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di pasaran, sebab itu saya tidak akan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta buku setiap kali ia dianjur.

“Menariknya, jika bertuah kita boleh bertemu secara terus dengan penulis buku kerana adakalanya syarikat penerbitan mereka buat sesi bertemu bersama penulis,” kata pelajar Universiti Teknologi MARA itu ketika ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Afiq Danial. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Bagi pelajar UiTM jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah Muhammad Afiq Danial, 21, SIBF menawarkan lebih banyak pilihan buku berkaitan bidang yang dipelajarinya.

“Di sini lebih banyak pilihan buku yang ada berbanding di kedai buku biasa, malah menawarkan potongan harga yang banyak. Sebagai penuntut sudah tentu kami gembira kerana mendapat membeli buku dengan harga murah.

“Saya harap acara seperti ini wajar diteruskan serta dianjur secara kerap dengan pelbagai lagi pengisian menarik,” katanya.

Sementara itu, seorang guru sekolah rendah Faezah Mohd Mazlan, 42, teruja dengan buku kanak-kanak yang dijual di pesta buku negeri kali ini yang disifatkan interaktif dan menarik.

Faezah Mohd Mazlan. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Kebanyakan buku dijual sangat menarik dan ia boleh membuahkan minat anak kecil untuk membaca. Saya mengajak ibu bapa untuk bawa anak-anak ke pesta buku inu. Banyak buku menarik untuk dijadikan bahan bacaan kanak-kanak.

“Saya juga harap Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor meneruskan program sebegini dan kerap dianjurkan ketika musim cuti sekolah,” ujarnya.

SIBF 2023 berlangsung mulai 1 hingga 10 Disember di Pusat Konvensyen MBSA, dari 9 pagi hingga 9 malam.

Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Kanak-kanak membaca buku ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :