EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menandatangani plat perasmian Rakan Niaga MyPRENEUR sempena majlis Bowl To Strike di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 4 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri rangka program usahawan belia, permudah geran mula niaga

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 5 DIS: Kerajaan Negeri merangka program keusahawanan golongan belia termasuk mempermudah permohonan geran permulaan perniagaan.

EXCO keusahawanan berkata usaha melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pemegang taruh diharap melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.

“Satu kerangka cadangan pemerkasaan usahawan muda di negeri ini akan disediakan secara konsultan bersama pemegang taruh pada masa terdekat.

“Ini termasuklah memudahkan belia mendapatkan geran permulaan perniagaan seterusnya pembiayaan kewangan untuk kembangkan perniagaan mereka ke peringkat tinggi,” kata Mohd Najwan Halimi pada program pra pelancaran Rakan Niaga MyPreneur Jabatan Belia dan Sukan Selangor (JBS) di sini, semalam.

Mengulas mengenai program Rakan Niaga MyPreneur, beliau berkata program itu menggalakkan belia menyerlahkan potensi mereka dalam bidang keusahawanan berpandukan Dasar Belia Malaysia (DBM), Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dan Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB).

“Melihat pada maklum balas yang diterima cukup positif, Rakan Niaga MyPreneur perlu diteruskan secara berstruktur mengikut tahap perniagaan dan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang produktif serta berdaya saing,” katanya.


Pengarang :